Pusat Pengurusan Penyu, Segari.

Hujung minggu hari tu, anak-anak merengek untuk dibawa ke Zoo Taiping. Memandangkan kami kesuntukan masa, kami cuba memujuk anak-anak untuk dibawa ke lokasi yang lebih dekat. Alhamdulillah, anak-anak tak banyak kerenah. Asalkan dibawa berjalan dan dapat melihat haiwan. Maka kami pun membuat keputusan untuk pergi ke Pusat Pengurusan Penyu di Segari, Perak.

Nak tengok penyu tak semestinya ke Terengganu ya.  Lokasinya ialah di pantai Pasir Panjang Segari, Perak. Tempatnya memang agak jauh ke dalam melalui kebun kelapa sawit dan ladang ayam. Laluan yang sama ke Baitul Hilal, tempat melihat anak bulan tu.

Kena ikut jalan lama Setiawan-Pantai Remis. Segari terletak di antara dua tempat ini. Bila sampai kawasan Segari bawa kenderaan anda perlahan sedikit supaya tak terlepas simpang. Jangan risau kerana ada papan tanda untuk ke situ. Jika dari Pantai Remis tengok kanan, kalau dari Lumut atau Sitiawan tengok kiri ada signboard Pusat Pengurusan Penyu terus masuk. Bawa kenderaan anda perlahan-lahan, tengok jalan masuk ke kiri di dalam ladang kelapa sawit. Pusat Pengurusan Penyu ni terdapat di penghujung jalan tau. Di belakang Baitul Hilal.

Saya pergi pada jam 2 petang, tiada pekerja atau staff yang boleh memberi penerangan. Hanya lihat penyu je lah. Kalau melawat pagi, mungkin ada staff yang boleh membantu. Masuk percuma sahaja, kemudahan surau dan tandas juga ada disediakan. Tempat ini berhampiran pantai, tapi saya rasa atas faktor keselamatan anda tidak digalakkan untuk mandi di situ walaupun airnya bersih.

Nak gembirakan anak tidak semestinya mengeluarkan belanja yang mahal, kan. Beriadah bersama keluarga itu penting, tapi tak perlulah sehingga mengorbankan masa dan wang ringgit sehingga hujung bulan, termenung sebab tiada duit. Simpanan pula langsung tiada, kan susah kalau berlaku apa-apa kecemasan. Betul tak?




Tiada ulasan: