5 Kesilapan Besar Dalam Mengajar Anak Membaca Al-Quran



1. Tidak konsisten dan tidak berdisiplin.

Ajar anak setiap hari tanpa culas. Bukan seminggu sekali. 

Konsisten dengan satu-satu kaedah membaca Al-Quran dahulu walaupun terdapat banyak kaedah dalam mengajar anak membaca Al-Quran. Persediaan dan pengalaman yang tidak mencukupi membuatkan ibu bapa sering menukar-nukar kaedah membaca Al-Quran akibat terpengaruh dengan kaedah yang cepat, pantas atau lebih mudah. Sebenarnya tiada jalan mudah untuk itu, semuanya bergantung kepada sikap anda ketika mengajar al-Quran. 

Tetapkan waktu yang khusus untuk mengajar anak membaca Al-Quran supaya terdidik untuk berdisiplin. Disiplin itu bermula dari diri anda sendiri. 

2. Menganggap setiap anak mempunyai keupayaan yang sama.

Sabar. Akibat menganggap setiap anak mempunyai keupayaan yang sama, membuatkan ibu bapa hilang kesabaran. Ketahuilah, setiap anak tidak mempunyai keupayaan yang sama. Bersabarlah dengan anak yang mungkin ‘lambat’ sedikit berbanding dengan anak yang lain. 

3. Mengajar dengan kekerasan

Ketegasan itu perlu tapi jangan kekerasan yang mengambil alih kerana sikap itu membuatkan anak jauh dengan al-Quran dan sering berdalih untuk tidak mahu membaca al-Quran. Elakkan guna bahasa yang kasar atau sentuhan fizikal. Terangkan kepada mereka dengan hikmah mengapa kita mahu dia pandai membaca al-Quran. 

4. Terlalu memanjakan anak 

Terlalu berlembut dengan anak juga membuatkan anak ‘naik tocang’ dan tak bersungguh-sungguh dan hilang tumpuan ketika diajar membaca al-Quran. Memang fitrah anak bermain, tetapi di dalam membaca Al-Quran mereka perlu ambil serius. 

5. Tidak faham dengan kondisi anak

Peka dengan keadaan anak. Pastikan anak tidak letih, tidak lapar dan berada di dalam kesihatan yang baik.

𝗖𝗮𝗿𝗮 𝗞𝗲𝗹𝘂𝗮𝗿 𝗗𝗮𝗿𝗶 𝗠𝗮𝘀𝗮𝗹𝗮𝗵 𝗛𝘂𝘁𝗮𝗻𝗴, 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗻𝗼𝗺𝗯𝗼𝗿 𝟱 𝘁𝘂 𝘀𝗲𝗺𝘂𝗮 𝗼𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗯𝘂𝗮𝘁.


Sekali terjebak dengan hutang, maka meranalah kita seumur. Hidup tanpa hutang walau pendapatan tak besar mana, saya rasa lebih aman. Rata-rata di kalangan kita akan mudah terjebak dengan hutang sekiranya tiada pengurusan kewangan yang baik.
Sesiapa nak mencapai kebebasan kewangan tanpa hutang dan mempunyai simpanan yang cukup ni sebenarnya perlukan kekentalan jiwa dan disiplin yang tinggi. Kena kuat semangat kerana kita ada matlamat akhir yang perlu dicapai.
Cara saya, mungkin tak sama dengan orang lain. Mungkin ada acara yang lebih baik. Itu bergantung kepada situasi masing-masing.

1. 𝑴𝒆𝒏𝒚𝒊𝒎𝒑𝒂𝒏 𝒘𝒂𝒍𝒂𝒖 𝒑𝒖𝒏 𝒔𝒆𝒅𝒊𝒌𝒊𝒕 𝒔𝒆𝒉𝒊𝒏𝒈𝒈𝒂 𝒎𝒂𝒎𝒑𝒖 𝒎𝒆𝒏𝒄𝒆𝒄𝒂𝒉 10% 𝒅𝒂𝒓𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒅𝒂𝒑𝒂𝒕𝒂𝒏.
Jika tiada disiplin menyimpan, buat potongan gaji. Lagi baik, potongan gaji tersebut juga dibuat sedikit untuk akaun anak-anak. Pengalaman saya, walaupun ada simpanan, saya sering tergoda untuk keluarkannya dari akaun saya tapi tidak tergoda dengan akaun anak-anak. Jadi di situ, ada simpanan yang agak selamat.

2. 𝑩𝒆𝒓𝒉𝒆𝒏𝒕𝒊 𝒈𝒖𝒏𝒂 𝒌𝒂𝒅 𝒌𝒓𝒆𝒅𝒊𝒕, 𝒈𝒖𝒏𝒂 𝒕𝒖𝒏𝒂𝒊 𝒔𝒂𝒉𝒂𝒋𝒂.
Sebenarnya saya tak ingat bila saya mula terjebak dengan kad kredit. Pada awal penggunaan, bayaran yang dilakukan memang cantik. Saya bayar mengikut apa yang saya guna. Siap dapat rebat lagi. Tapi, bila disiplin semakin kurang dan perasaan kita tidak terdidik dengan berbelanjalah dengan apa yang ada di tangan, saya mula berbelanja dalam amaun yang saya tak mampu bayar dengan cukup. Maka beranaklah hutang saya dengan jayanya.

Sepatutnya kita perlu menyimpan duit untuk mendapat / membeli sesuatu yang kita ingini. Saya memang ada duit simpanan tapi suka pula berbelanja dengan kad kredit. Bila muhasabah balik, saya mula kurangkan guna kad kredit dan menggunakannya untuk membayar bil-bil sahaja. Baki hutang masih tinggi sebab penggunaan yang lepas dan tak berkat agaknya sebab terlibat dengan riba. Kad kredit bank konvensional kut. Ni yang paling saya sedih, mengapalah saya tak terfikir semua ni. Maka, kentalkan hati, korek duit simpanan, bayar baki hutang dan tutup kad kredit tersebut. Mujur saya ada simpanan, walaupun sedih melihat simpanan yang makin mengecil.

3. 𝑷𝒆𝒏𝒅𝒆𝒌𝒌𝒂𝒏 𝒕𝒂𝒉𝒖𝒏 𝒑𝒆𝒎𝒃𝒊𝒂𝒚𝒂𝒂𝒏 𝒃𝒂𝒈𝒊 𝒔𝒆𝒃𝒂𝒓𝒂𝒏𝒈 𝒑𝒊𝒏𝒋𝒂𝒎𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒅𝒊𝒃𝒖𝒂𝒕 𝒅𝒆𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒃𝒂𝒏𝒌.
Kalau ikut penasihat kewangan, jangan beli kereta baru jika kita masih tidak mempunyai simpanan yang cukup. Beli kereta second hand sahaja secara tunai. Tapi bagi yang dah terjebak membeli kereta, pendekkan tempoh pembiayaan. Jika biasanya 7 atau 9 tahun tempoh pembiayaan itu, pendekkanlah ke 4 atau 5 tahun. Memang bayaran setiap bulan agak besar, tapi kita akan untung banyak di situ. Begitu juga jika ada yang membuat pembiayaan peribadi. Pendekkan sebab kita ada matlamat.

4. 𝑫𝒖𝒅𝒖𝒌 𝒓𝒖𝒎𝒂𝒉 𝒅𝒂𝒏 𝒎𝒂𝒌𝒂𝒏 𝒅𝒊 𝒓𝒖𝒎𝒂𝒉.
Yang ni saya selalu gagal. Dalam proses nak istiqamah. Kalau nak berbelanja barang keperluan rumah pula, jangan bawa anak-anak kerana kita akan terdorong untuk makan di luar atau berbelanja barang yang tidak perlu.

5. 𝑭𝒐𝒌𝒖𝒔, 𝒌𝒐𝒏𝒔𝒊𝒔𝒕𝒆𝒏. 𝑱𝒂𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒍𝒂𝒓𝒊 𝒅𝒂𝒓𝒊𝒑𝒂𝒅𝒂 𝒎𝒂𝒕𝒍𝒂𝒎𝒂𝒕 𝒂𝒔𝒂𝒍.
Jika nak hapus hutang, jangan pula dalam masa yang sama buat hutang baru!. Kentalkan hati supaya berbelanja dengan berhemah. Tidak terikut-ikut dengan gaya mewah rakan sekerja atau sanak saudara. Ingat, Nampak bergaya tak semestinya poketnya berisi. Entah-entah hutang juga.
Jangan pula cuba-cuba nak pinjam duit dengan kawan-kawan, adik beradik dan sanak saudara. Yakinkan diri, berjimatlah dan tutup mata dengan segala bentuk barangan, makanan atau pakaian yang mewah. Ada barang yang sama, harganya lebih murah. Mahal sebab jenama sahaja. Ada makanan yang lebih murah, tak mengapalah asalkan perut terisi.
Ingat, apabila anda mula meminjam dengan rakan atau saudara terdekat, anda tidak terdidik untuk berdikari. Fikirkanlah, orang yang kita pinjam itu juga mungkin tidak sesenang mana, dan mungkin juga terpaksa menafikan kehendaknya semata-mata untuk menyimpan duit. Alih-alih kita pinjam untuk makan KFC!.

6. 𝑴𝒆𝒎𝒑𝒖𝒏𝒚𝒂𝒊 𝒔𝒊𝒔𝒕𝒆𝒎 𝒑𝒆𝒏𝒈𝒖𝒓𝒖𝒔𝒂𝒏 𝒌𝒆𝒘𝒂𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒔𝒊𝒔𝒕𝒆𝒎𝒂𝒕𝒊𝒌.
Beli barang yang perlu sahaja. Tangguhkan beli sesuatu barangan itu dan lihat, sekiranya sehingga 30 hari pun kita masih boleh hidup tanpanya, tak perlulah beli. Simpan duit itu untuk langsaikan hutang yang ada.

7. 𝑩𝒆𝒍𝒂𝒋𝒂𝒓 𝒖𝒏𝒕𝒖𝒌 𝒎𝒂𝒏𝒂𝒎𝒃𝒂𝒉 𝒑𝒆𝒏𝒅𝒂𝒑𝒂𝒕𝒂𝒏
Anda boleh berniaga sambilan (jangan sampai abaikan tugas yang hakiki) atau melabur di instrument pelaburan yang betul dan diyakini. Bukan skim cepat kaya ya.


Portal MyASNB

Anda ada akaun ASB?. Sesiapa yang baru mendaftar akaun ASB tahun ni, hanya dapat sekeping kertas je yang mengandungi nombor akaun . Tiada dah buku biru tu. Memandangkan sekarang ni, buku pelaburan ASB dah tiada, maka pengetahuan tentang penggunaan sistem secara online amatlah penting.
Sangat senang okeh. Nak tengok baki boleh, nak tambah pelaburan daripada mana-mana perbankan online yang anda ada pun boleh. Tak perlu ke kaunter atau pergi ke bank. Lihat gambar untuk langkah-langkahnya ya!.

Ha..ni lah, sehelai kertas yang menggantikan buku ASB yang berwarna biru tu. Ada nama, nombor akaun dan transaksi yang berlaku pada hari kejadian

Sebab tu ramai yang bising sebab buku ASB ditiadakan. Sebenarnya, tak susah pun. Kenapa nak bising, sekarang lagi mudah tau sebab boleh tengok setiap masa dan di mana sahaja. Tak perlu ke bank, pejabat pos mahupun ke cawangan ASNB. Kan lagi senang. Nak tambah amaun pelaburan pun tak perlu keluar rumah.


Bagi yang pertama kali nak daftar, silalah taip URLhttps://www.myasnb.com.my/ ya. Klik Daftar di sini macam gambar anak panah tu tunjukkan.


Masukkan maklumat asas korang dan teruskan


Haa..ni part paling penting. Ada yang dah ada akaun ASB tapi buka bertahun-tahun yang lalu. Nombor telefon pun masih guna nombor lama masa bercinta dengn awek pertama dulu.

Kalau macam tu, anda kenalah kemaskini nombor telefon terkini kerana kod TAC akan dihantar melalui nombor telefon anda. Jika anda biasa menggunakan perbankan internet, kod TAC ni memang ada untuk setiap transaksi sebagai langkah keselamatan.

Tak tahu nak kemaskini nombor telefon anda?. Ada 4 cara nak kemaskini.

1) Cawangan ASNB atau Ejen ASNB seluruh negara

2) Surat Menyurat ke : Amanah Saham Nasional Berhad
                                     Jabatan Pengurusan Ejen & Perhubungan Pelanggan
                                     UG, Balai PNB. 201-A, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

3) Faks : 03-20505220

4) Email : asnbcare@pnb.com.my

Surat, faks dan email perlu disertakan dengan salinan kad pengenalan yang disahkan.

Anda hanya boleh meneruskan pendaftaran akaun setelah menerima kod TAC ya. Di situ, nama pengguna, kata laluan dan lain-lain anda boleh daftarkan.


Sekiranya pendaftaran pertama anda sudah berjaya, maka setiap kali nak lihat akaun anda, anda hanya perlu klik Log masuk tu


Masukkan id pengguna dan teruskan. Masukkan kata laluan pula. Id pengguna dan kata laluan ni mestilah sama ketika anda buat pendaftaran sebelum ni. Jangan masukkan nama pengguna dan kata laluan facebook pula.

Nampak tak betapa terperincinya maklumat yang anda boleh lihat di sini.

1) Jumlah dana yang anda ada di ASNB.
2) Jumlah Nilai Pelaburan anda
3) Jika hendak menambah nilai pelaburan sedia ada

Ini pula halaman penambahan pelaburan sekiranya anda hendak menambah pelaburan. Sila tanda 'tick' untuk persetujuan tersebut dan teruskan ya

Masukkan nilai pelaburan yang anda hendak tambah. Minimum RM100. Tak boleh kurang.

Alamak..saya punya dah maksimum. Setahun RM 200 000 je. Sebab tu ada tulisan warna merah kat bawah tu menandakan urusniaga tidak dapat diteruskan. Jadi tak boleh tambah lagi la. Tak dapat la nak tunjuk langkah seterusnya. Lupa nak screenshot masa saya tambah hari tu.

Seingat saya, selepas masukkan nilai yang ingin ditambah, anda perlu masukkan kod yang membuktikan anda bukan robot seterusnya anda akan dibawa ke transaksi pembayaran online samada maybank2u, cimb dan apa sahaja la bank yang ada perbankan online tu.

Selepas transasksi berjaya, nilai pelaburan akan dikemaskini serta merta. Mudah kan. Selamat mencuba.

Menabung di SSPN-i plus


Tabungan dan pengurusan kewangan amatlah penting apatah lagi yang mempunyai anak-anak. Bila anak-anak semakin membesar, banyak keperluan pendidikan mereka yang perlu diutamakan. Disiplin menyimpan setiap bulan akan mengelakkan kita dari dibelenggu hutang yang tak berkesudahan. Kalau dulu, kita meminjam dengan PTPTN untuk menampung keperluan perbelanjaan pendidikan kita. Habis belajar, perlu membayar dan terbelenggu dengan hutang. Tapi, itu lumrahlah. Dah pinjam mestilah kena bayar.  

Jadi, untuk mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang, ibu bapa perlu memainkan peranan. Galakkan mereka menabung dan simpan untuk jaminan masa hadapan. Buka akaun simpanan di SSPN-i pun banyak kelebihannya. SSPN-i ialah salah satu alternatif untuk tabungan anak di masa hadapan selain simpanan di akaun simpanan, tabung haji atau amanah saham.

Sempat lagi ni kalau nak buat dan menerima pemberian insentif khas di dalam bentuk "geran sepadan" sehingga RM50 yang akan dimasukkan ke dalam akaun SSPN-I bagi mereka yang mempunyai anak di Tahun 1 pada 2017 seperti mana diumumkan masa belanjawan tahun lepas. Cepat buka akaun sebelum 31 Disember 2017 ya.

Jadi, jika anda ada mempunyai anak, adik atau anak saudara yang berada di Tahun 1 pada tahun 2017 ni yang belum mendaftar SSPN-i, sebar-sebarkanlah ye. Takut terlupa macam saya. Dah hujung tahun baru teringat. Daftar online di sini http://bit.ly/sspni_plus pun boleh kalau tak sempat nak ke kaunter.

Lihat gambar untuk syarat-syaratnya ya!


Pusat Pengurusan Penyu, Segari.

Hujung minggu hari tu, anak-anak merengek untuk dibawa ke Zoo Taiping. Memandangkan kami kesuntukan masa, kami cuba memujuk anak-anak untuk dibawa ke lokasi yang lebih dekat. Alhamdulillah, anak-anak tak banyak kerenah. Asalkan dibawa berjalan dan dapat melihat haiwan. Maka kami pun membuat keputusan untuk pergi ke Pusat Pengurusan Penyu di Segari, Perak.

Nak tengok penyu tak semestinya ke Terengganu ya.  Lokasinya ialah di pantai Pasir Panjang Segari, Perak. Tempatnya memang agak jauh ke dalam melalui kebun kelapa sawit dan ladang ayam. Laluan yang sama ke Baitul Hilal, tempat melihat anak bulan tu.

Kena ikut jalan lama Setiawan-Pantai Remis. Segari terletak di antara dua tempat ini. Bila sampai kawasan Segari bawa kenderaan anda perlahan sedikit supaya tak terlepas simpang. Jangan risau kerana ada papan tanda untuk ke situ. Jika dari Pantai Remis tengok kanan, kalau dari Lumut atau Sitiawan tengok kiri ada signboard Pusat Pengurusan Penyu terus masuk. Bawa kenderaan anda perlahan-lahan, tengok jalan masuk ke kiri di dalam ladang kelapa sawit. Pusat Pengurusan Penyu ni terdapat di penghujung jalan tau. Di belakang Baitul Hilal.

Saya pergi pada jam 2 petang, tiada pekerja atau staff yang boleh memberi penerangan. Hanya lihat penyu je lah. Kalau melawat pagi, mungkin ada staff yang boleh membantu. Masuk percuma sahaja, kemudahan surau dan tandas juga ada disediakan. Tempat ini berhampiran pantai, tapi saya rasa atas faktor keselamatan anda tidak digalakkan untuk mandi di situ walaupun airnya bersih.

Nak gembirakan anak tidak semestinya mengeluarkan belanja yang mahal, kan. Beriadah bersama keluarga itu penting, tapi tak perlulah sehingga mengorbankan masa dan wang ringgit sehingga hujung bulan, termenung sebab tiada duit. Simpanan pula langsung tiada, kan susah kalau berlaku apa-apa kecemasan. Betul tak?