:- Tundukkan Hati -:

Assalamualaikum dan salam kerinduan buat pengunjug blog yg amat saya rindui dan kasihi. Semoga kalian di bawah naungan rahmat kasihNya. Lama benar saya tidak mencatatkan sesuatu di sini sehingga ditegur oleh beberapa sahabat. Dah bersawang blog saya ni rupanya. Ya..kadang-kadang, selalu benar kita terleka dengan kehidupan dunia..hingga terlupa singkatnya perjalanan untuk menuju destinasi kehidupan yang lebih abadi..

Hati = Raja ?
Hari ini sama sahaja seperti hari-hari sebelumnya. Cuma, hari ini hati mudah benar terusik dengan segalanya. Entah mengapa saya amat berjauh hati dengan diri saya sendiri. Pelbagai perkara yang ingin benar saya perbaiki, namun tidak mampu untuk dilaksanakan. Kekuatan yang saya kumpul selepas terjatuh dan tertatih beberapa bulan yang lalu seolah-olah lebur kerana sebuah pemerintah yang bernama hati. Ya..hati adalah maharaja. Dialah pemerintah sebenar kepada sebuah kerajaan bernama diri. Justeru itu, hatilah yang harus menjadi sasaran pendidikan kita. Gagal mendidik dan membaiki hati bererti gagal mendidik dan membaiki manusia. Hati mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Jika akal menjadi penasihat, maka hati pun baik. Jika nafsu menjadi penasihat, maka raja dalam diri manusia itupun menjadi jahat.

Tundukkan Hati
Membelek buku dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz, terubat sedikit rasa hati ini dengan isinya. Moga hati ini mampu ditundukkan melalui sebuah hadiah bernama ‘Tundukkan Hati’. Rahsia keikhlasan hidup di dunia fana dihuraikan dalam bahasa dan kisah yg cukup menarik. Semuanya berkisar tentang bagaimana kita melihat dunia dalam perspektif yang betul. Kejarlah dunia wahai sahabatku, tapi perlu diingat..semua itu untuk akhirat kerana kita dalam usaha mengejar redha Allah dalam setiap perilaku dan perbuatan kita. Jadi, ayuh! pupuk cinta pada akhirat. Kamu perlu menguasai dunia, bukan dunia yang menguasaimu.

Jangan Ikut Hawa Nafsu, Jangan Panjang Angan-angan
Jangan sesekali diturutkan nafsu pada kali yang pertama, kerana ia akan menuntut lebih dan lebih lagi pada masa yang seterusnya. Sekali anda melihat video lucah..maka nafsu akan meminta untuk melihat lagi dan lagi. Akal dan iman akan ditolak tepi lantaran runtunan nafsu yang mengusai diri. Asasnya mudah, tapi dirumitkan dengan syaitan yang bijak mengatur strategi. Didiklah hati dengan menundukkan pandangan dari melihat sesuatu yang diharamkan dan boleh menggelapkan hati. Jagalah anggota tubuh badan dari bakaran api neraka. Jika kita tak mampu menahan panasnya api dunia, sanggupkah kita menerima panasnya api Neraka?. Begitu bicara seorang guru yang masih saya ingat sehingga kini. Semoga ia menjadi panduan buat saya dan semua.

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: "Yang saya sangat khuatirkan atas kamu dua macam iaitu: Panjang angan-angan dan Menurut hawa nafsu. Kerana panjang angan-angan itu dapat melupakan akhirat dan menurutkan hawa nafsu itu menghalangi dari kebenaran (hak)."

Seharusnya seorang muslim itu pendek angan-angannya kerana ia tidak mengetahui dalam nafas yang mana dia akan mati dan pada langkah yang mana dia akan mati.

Merawat Hati
Setujukan anda jika saya mengatakan banyak permasalahan jiwa manusia berlaku disebabkan hati yang ''sakit''?. Betapa besar fungsi hati sehingga mengundang pelbagai masalah jiwa dan menarik nikmat ketenangan dalam diri. Jiwa yang keluh kesah, tidak redha dengan sesuatu, sukar menerima kebenaran dan pelbagai lagi sifat mazmumah berpunca dari hati yang sakit. Dalam psikologi Islam, hati boleh dijaga dan dirawat dengan sentiasa mengamalkan mujahadah mengekang dan mengawal hati daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan mendisiplinkan diri untuk istiqamah melaksanakan perkara yang baik.

Perut yang lapar , Sahabat yang soleh, Mengingati dosa-dosa yang lalu dan Tidak panjang angan-angan adalah antara cara untuk menerangkan hati yang gelap. Ayuh teman!..mari kita berusaha untuk memiliki hati yang sihat dan merasa nikmat yang tidak terhingga dengan terbinanya jiwa yang tenteram dalam diri.

Aku suka miskin kerana ia tanda tawaduk pada Tuhanku,
aku suka penyakit kerana ia tanda penebus dosaku &
aku suka kepada mati kerana aku rindukan Tuhanku
- Abu Dardaa

Tiada ulasan: